Sunday, 27 March 2016

Isu Berlambak, Tapi Demi Kasih Sayang Kepada Azmin Ali dan Tony Pua, UMNO-BN Selangor Terus Beretorik Bersoladariti dan Berdeklarasi Kepada Najib Abdul Razak



Setakat ini, isu-isu besar banyak diatasi oleh isu yang melibatkan Lim Guan Eng dan skandal hartanahnya. Maka bolehlah dikatakan juga, hampir sebahagian besar para pemimpin DAP, termasuklah Teresa Kok mahupun Tony Pua, tidak memberikan sebarang ulasan atau sedang mempertahankan kota mereka di Selangor seperti biasa sebaliknya berusaha mempertahankan Lim Guan Eng dan kelangsungan DAP di Pulau Pinang.

Di Selangor, terlalu banyak juga isu yang melibatkan dasr dan polisi Kerajaan Negeri terutama sekali membabitkan penjualan aset-aset Kerajaan Negeri, termasuklah yang terbaru, melibatkan penjualan 5 unit apartment di Menara Al-Marwa, Makkah Al-Mukarramah yang merupakan milik Permodalan Negeri Selangor Berhad.

Bagaimanapun isu tersebut langsung tidak mendapat 'nyawa' daripada UMNO dan BN Selangor. Tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan. Malah, tiada juga sebarang penjelasan dan pencerahan daripada UMNO-BN kepada orang ramai.

Sebaliknya yang disibukkan oleh UMNO Selangor adalah Deklarasi Najib untuk menunjukkan barisan kepimpinan utama UMNO Selangor berada di belakang Najib.

Sedangkan pada masa yang sama, isu-isu besar yang melibatkan kepincangan dan keserakahan Kerajan Negeri di bawah Pakatan Harapan/Rakyat, langsung tidak dititik beratkan seolah-olah UMNO dan Barisan Nasional Selangor sudah mati kutu.

Bersolidariti dan berdeklarasi menyokong Najib, tetapi tiada sebarang usaha untuk mengancam kedudukan Pakatan DAP-PKR-PAS di Selangor walaupun beretorik kononnya sudah mengatur pelbagai taktik untuk menawan, tidak ubah seperti menganyam mimpi pada siang hari. Dengan isu sebegitu banyak di Selangor termasuklah gelagat Azmin Ali sebagai Menteri Besar yang kuat berlakon, rupa-rupanya tidak begitu dipedulikan oleh UMNO dan Barisan Nasional Selangor.

Mengapa agaknya UMNO-BN Selangor tidak begitu bernafsu untuk 'mengenakan' PKR dan DAP?

Walaupun terdapat beberapa gerakan sulit membabitkan UMNO-PAS di Selangor, namun usaha-usaha itu juga nampaknya seperti mencangkukkan mata kail besar di tulang tongkeng masing-masing.

Sekadar ingin bertanya, UMNO-BN Selangor belum habis lagi ke yu-ya-yu-ye dan berbulan madu sambil duk berangan-angan semenjak 2008? Bila sebenarnya UMNO-BN Selangor benar-benar hendak bekerja keras, lebih bijak, lebih berinovatif, lebih kreatif dan lebih beriltizam bersama usaha untuk merealisasikan solidariti dan deklarasi mereka kepada Najib.

Takkan sekadar retorik semata-mata kerana retorik yang dipaparkan oleh UMNO-BN Selangor tidak akan bawa ke mana-mana pun.

Eloklah dirungkaikan dan didedahkan masalah-masalah yang dialami oleh rakyat Selangor di bawah Kerajaan Negeri sekarang, berbanding taktik yang diamalkan sekarang...

Mungkin elok juga sementara menantikan tindakan dan langkah drastik UMNO-BN Selangor dan berbanding menyaksikan mereka melakonkan retorik yang tidak habis-habis, apa kata kalau kita cari cendol dan rojak mamak dahulu. Nak bagi harapan besar sangat pun, mereka bukannya boleh diharap sangat sebab kasih sayang mereka kepada Azmin Ali dan Tony Pua mengatasi segala-galanya, biarpun di bibir mereka mengatakan bersolidariti dan berdeklarasi untuk Najib Abdul Razak!


Wednesday, 23 March 2016

Sokongan Orang Muda Untuk UMNO Bukan Boleh Dilakukan Secara Percuma - Ketua Pemuda UMNO Selangor


Pemuda Umno Selangor menegaskan sayap-sayap Umno di Selangor bukan tidak menjalankan tugas mereka membantu Umno dan BN bagi merampas kembali Selangor dari tangan Pakatan Harapan.

Malah Ketua Pemudanya, Zainuri Zainal mendakwa beliau dan ahli-ahlinya terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri demi memastikan program-program dapat dijalankan dalam usaha memikat pengundi terutamanya dari kalangan orang muda.

“Nak suruh kita bekerja, tapi minyak tidak berisi, bagaimana nak bergerak? Ini masalah Pemuda Selangor hadapi. Orang tak tahu...sampai ada yang berhutang. Kita tidak ada peruntukan seperti ketua bahagian tapi kita sanggup keluarkan duit poket sendiri buat program.

“Himpunan merah itu, kita keluarkan baju, dapat (duit) dari mana? Ketua Pemuda keluar duit sendiri, beri kepada pemuda-pemuda yang semangat nak pergi. Ada orang tanya tak, Pemuda Selangor dapat peruntukan dari mana?

“Kita memang nak membantu. Asas penubuhan Pemuda pun untuk membantu cawangan dan bahagian tapi dalam masa sama, yang atas (Umno pusat) pun kenalah bantu yang di bawah. Tidaklah boleh harapkan Pemuda sahaja. Kita (Pemuda) tiada peruntukan. Jadi, mereka kena bantu kitalah,” katanya kepada Sinar Online.

Sebelum ini, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa ketiga-tiga sayap Umno, Wanita, Pemuda dan Puteri memperkukuhkan semula parti dalam usaha merampas semula Selangor dari Pakatan Harapan.

Beliau turut mendakwa kekalahan Umno ketika PRU13 yang lalu bukan kerana pembangkang kuat sebaliknya Umno sendiri yang lemah.

Zainuri menegaskan kesilapan Umno Selangor dalam pilihan raya lalu adalah meninggalkan anak muda selepas berjaya mendaftarkan mereka sebagai pengundi.

“Kesilapan kita selepas daftar, kita tidak ‘follow up’. Buatlah apa-apa program, perkhemahan atau perjumpaan. Semua itu memerlukan belanja.

“Kita terima saranan Naib Presiden tapi harus bersandarkan situasi dan keadaan semasa. Orang muda sekarang tak sama. Lihat di cawangan-cawangan, nak suruh ahli datang mesyuarat pun susah. Ini yang ahli Umno...apa lagi yang bukan ahli? Benda ini bukan sayap sahaja yang harus bertanggungjawab tapi peranan yang lebih penting lagi sebenarnya di peringkat atasan,” katanya.

Menafikan sekeras-kerasnya tegurannya itu terhadap parti kerana mengejar jawatan, namun Zainuri berkata, teguran itu kerana sayangkan parti dan beliau tidak mahu melihat negara diperintah oleh parti selain Umno-BN.

Sehubungan itu, Zainuri berkata, mengekalkan sokongan orang muda untuk Umno bukan boleh dilakukan secara percuma.

“Trend sekarang ini, kalau kita guna air liur, air liurlah kita dapat. Kalau kita lihat pihak belah sana, sanggup berbelanja lebih untuk terus kepada kumpulan sasaran. Sasarannya untuk mendapatkan pengundi.

“Kita bantu daftar pengundi tapi kita tidak tahu mereka undi siapa, jadi, kita kena bawa jenama kita. Jenama kita (pula) orang sedang tidak sedap (suka). Jadi, kenalah jenamakan semula, cantikkan balik supaya pengundi yang baharu ini tahu bahawa yang bawa mereka daftar untuk mengundi buat kali pertama adalah dari BN,” katanya.

Katanya, Pemuda Umno Selangor akan mencuba sedaya upaya untuk memenangkan BN pada pilihan raya umum akan datang.

“Insya-ALLAH kita akan cuba dan mungkin kita dapat lihat Selangor menjadi salah satu penyumbang terbesar kepada kemenangan BN. Siapa tahu, sebab politik itu berubah-ubah,” katanya. - SINAR HARIAN

Tuesday, 22 March 2016

UNDUR NAJIB-ZAHID Akhirnya Dibuat Laporan Polis oleh Pemuda UMNO Selangor



Jawatankuasa Badan Perhubungan Pergerakan Pemuda Negeri Selangor hari ini telah membuat laporan polis di atas fitnah yang menuduh Pemuda UMNO Selangor mendesak PM & TPM meletakkan jawatan sewaktu majlis perasmian serentak oleh YAB Dato Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi di MAEPS Serdang baru-baru ini di IPK Selangor,Shah Alam.

Semuanya berpunca daripada fitnah yang dibuat oleh golongan tidak bertanggungjawab yang cuba mensensasikan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Selangor pada 20 Mac lalu. Konon-kononnya dalam persidangan tersebut, ada laungan tentang rasuah dan tekanan agar Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri meletak jawatan. 

Kesempatan daripada Deklarasi Mahathir-Kit Siang telah digunakan oleh musuh-musuh UMNO untuk menggulingkan Najib. Walaupun Deklarasi Mahathir-Kit Siang tidak ke mana-mana pun, malah ditempelak dan Mahathir, Muhyiddin serta Mukhriz tidak sahaja dikecam, bahkan disarankan agar keluar dari UMNO kerana bersekedudukan dengan Lim Kit Siang dan para pemimpin pembangkang lain, tetapi ia terus dijadikan modal konon-kononnya merupakan indikasi bahawa Najib dan Zahid Hamidi tidak lagi diperlukan dalam kepimpinan UMNO. 

Dengan menggunakan gambar lama, persepsi cuba ditanam dan disebarkan menerusi Facebook, medium paling mudah untuk menyambung lidah fitnah. 

Tidak dinafikan, berbanding UMNO-UMNO Negeri lain, UMNO Selangor berada di tangga paling bawah dari segi kekuatan mahupun usaha untuk kelihatan kuat. Sama ada kepimpinan mahupun orang UMNO Selangor mahu mengaku atau sebaliknya, yang pasti, usaha-usaha untuk memperkukuhkan dan mengembalikan pengaruh UMNO di Selangor, hampir mencapai titik sifar berbanding usaha-usaha syok sendiri yang tidak ke mana-mana. 


Kalau ada pun, hanyalah yang bersifat retorik dan sensasi seperti yang dilakukan oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Jamal Mohd Yunos yang juga tidak mampu mempengaruhi sokongan yang membolehkan UMNO-BN menawan Selangor semula. 

Namun sesuatu yang pasti ialah, dalam keadaan sekarang, terutama dengan persekongkolan Mahathir-Muhyiddin-Mukhriz dengan Lim Kit Siang dan para pemimpin pembangkang dalam Deklarasi Mahathir-Kit Siang, tidak memungkinkan mana-mana Ketua Cawangan di Selangor untuk menzahirkan sokongan mereka kepada usaha-usaha penggulingan Najib-Zahid sebagai Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri. Kelebihan tidak berpihak kepada mana-mana Ketua Cawangan UMNO di Selangor untuk berbuat begitu.

Pemimpin dan kebanyakan ahli-ahli UMNO di Selangor mungkin tidak kisah mereka akan kalah lagi pada PRU akan datang, dan retorik serta semangat untuk menawan Selangor hanyalah dalam perhimpunan atau persidangan semata-mata, tetapi mereka tidaklah mungkin sampai berani melaung-laungkan 'UNDUR NAJIB-ZAHID' secara terbuka sebagaimana yang difitnahkan. 

Lagipun, yang mengalahkan UMNO di Selangor adalah orang-orang UMNO sendiri, bukannya orang PKR, PAS atau DAP dan sekarang ini PAN. Masalah UMNO di Selangor sudah terlalu lama, terutama sekali semenjak ditinggalkan oleh Abu Hasan Omar, bekas Menteri Besar Selangor yang difitnah bermukah dengan adik ipar sendiri!

Sekarang, UMNO yang menerima ulah akibat fitnah sesama sendiri...


Monday, 21 March 2016

ALAHAI UMNO SELANGOR... Bukan Setakat Mandi Bunga Sahaja, Bahkan Perasap Kemenyan Sampai Lemas Pun Tetap Juga Kalah!


Tidak ramai yang memberikan harapan besar kepada UMNO-BN Selangor untuk merampas kembali negeri yang telah dua penggal kehilangan kepada PKR-DAP-PAS. Malah ramai yang mencebik bibir apabila suara-suara 'sumbang' menyatakan, UMNO-BN Seangor sudah bersedia untuk bekerja keras, mempunyai kaedah dan sudah bersedia untuk berperang sekaligus memenangi peperangan dengan Pakatan ke atas Selangor.

Sebabnya, masing-masing tahu setakat mana kekuatan dan kebolehan UMNO-BN Selangor.

Dua masalah besar yang masih tidak dapat diatasi oleh Barisan Nasional Selangor adalah, sokongan bukan Melayu khususnya orang Cina kepada BN, berada pada paras yang sangat rendah. Bahkan bolehlah dianggap langsung tidak ada lagi. Manakala pengundi-pengundi muda pula berasa jelak dan jemu dengan UMNO-BN Selangor yang terus diwakili oleh individu-individu yang dilihat bukan sahaja tidak berkebolehan tetapi juga terlalu kuat mengampu.

Dengan kata lain, UMNO-BN langsung tidak menyelerakan lagi generasi muda untuk dipilih sebagai penguasa di Selangor. Walau sebusuk, sejahat dan setolol manapun calon-calon Pakatan, malah walaupun terkenal dengan ketidakupayaan mereka untuk mentadbir Selangor, mereka tetap akan dipilih semula.

Perhimpunan dan mesyuarat tahunan Ketua-Ketua Cawangan UMNO Selangor yang diadakan dua hari lepas telah menimbulkan kontroversi apabila sebahagian besar daripada Ketua Cawangan tidak hadir. Sekaligus ketidakhadiran mereka memberikan gambaran yang sangat negatif memandangkan pertemuan tersebut selain menerima amanat daripada dua Naib Presiden UMNO iaitu Zahid Hamidi dan Hishamuddin Hussein Onn, turut juga bertujuan untuk mengampu menerusi solidariti kepada Perdana Menteri.

Sedar tentang hal tersebut, dan barangkali juga tidak senang dengan tingkah laku yang ditunjukkan oleh UMNO Selangor, Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan yang bolehlah dianggap keras, menegur UMNO Selangor dengan menyatakan, UMNO Selangor sekarang bukan lagi pemerintah, sebaliknya pembangkang dan seharusnya mereka bekerja sebagai pembangkang untuk menawan negeri itu semula berbanding masih berfikiran selesa dan berada dalam zon selamat.

Melihat kepada gerak kerja orang UMNO (kecuali beberapa orang ADUN) di Selangor, sememangnya tidak nampak cara UMNO atau Barisan Nasional akan merampas semula Selangor. Malah lebih tepat kalau dikatakan yang mereka sebenarnya tidak berharapkan kemenangan, sebaliknya kekalahan tetapi pada masa yang sama, masih kekal di dalam UMNO.

Setakat ini, tiada sebarang isu besar yang dimainkan di Selangor. Kalau ada pun yang bersilat garang,, hanyalah Noh Omar di Parlimen menghentam Ahli-Ahli Parlimen DAP khususnya yang membabitkan Selangor. Yang lain-lain, lebih senang mendiamkan diri dan buat hal sendiri, tetapi dalam Solidariti Bersama PM, merekalah yang lebih bersemangat walaupun hakikatnya kerja mereka di Kawasan sendiri langsung tidak bersemangat.

Selain daripada pengampuan dan pembodekan, tidak adakah kaedah lain yang dapat difikirkan oleh UMNO-BN Selangor?

Wednesday, 16 March 2016

TERUSKANLAH DENGAN FUTSAL, BOLA SEPAK ATAU RIADAH WALAUPUN UMNO-BN SELANGOR TINGGAL 4 KERUSI DUN SAHAJA PADA PRU-14 NANTI


Kalau tengok 'kerja senang' di Facebook, sememangnya diperakui cybertrooper UMNO-BN Selangor bekerja keras. Pengunaan poster dengan kolaj mahupun butiran fakta yang menarik, tidak boleh dipersoalkan langsung. Cybertrooper telah menjalankan tugasan yang diberikan kepada mereka - sama ada dari pihak atasan atau pun atas kemahuan sendiri - dengan cemerlang walaupun sebahagiannya mungkin tidak sampai ke sasaran kerana ianya tidak diviralkan.

Tetapi bagaimana pula dengan keadaan di luar dunia maya?

Anda ada melihat usaha-usaha kempen seperti yang dilakukan oleh cybertrooper di Facebook mahupun di media-media sosial lain?

Atau anda melihat perbezaan ketara di mana para pemimpin dan penggiat UMNO-BN Selangor kelihatan lebih seronok beriadah dengan sukan bola sepak, futsal atau kegembiraan-kegembiraan lain selain menerangkan kepada pengundi tentang masalah sebenar yang sedang melanda Selangor akibat kepincangan pentadbiran Azmin Ali dan Pakatan Harapan?

Atau anda ada melihat kelompok-kelompok pengempen dari UMNO-BN yang melakukan aktiviti mendedahkan atau membangkitkan masalah-masalah setempat kepada siaran dan pengetahuan media serta orang ramai untuk menyedarkan bahawa kepimpinan PKR dan Pakatan Rakyat di Selangor, lebih banyak menjual aset negeri yang telah dikumpulkan oleh kerajaan Barisan Nasional terdahulu.

Dengan masa yang semakin suntuk dan rekod UMNO-BN di Selangor yang sangat teruk selepas dua PRU, nampaknya faktor tersebut masih tidak mampu menyemarakkan semangat juang UMNO-BN untuk mempergiatkan lagi usaha mereka untuk menawan atau setidak-tidaknya menambah kerusi kemenangan pada PRU akan datang.


Yang duk nampak sekarang, UMNO-BN bakal kehilangan lebih banyak kerusi DUN dengan hanya empat orang ADUN sekarang sahaja yang terselamat, termasuklah salah seorang daripada mereka adalah Budiman Zohdi, ADUN Sungai Panjang. Yang lain, kelihatan seperti berada di atas bara api.

Tidak dapat dinafikan juga, sememangnya setiap UMNO Bahagian sekarang ini sangat giat bermesyuarat, sangat giat beraktiviti dan sangat giat menggunakan Facebook sebagai medium memperkenalkan usaha-usaha mereka.

Namun pengisian secara bertentang mata dengan para pengundi, kelihatan terlalu daif dan terlalu menyedihkan.

Bagaimana dengan daftar undi pengundi-pengundi baru? Bagaimana dengan penekanan bahawa ada keperluan untuk menukar Kerajaan Negeri dan mengembalikan Selangor kepada UMNO-BN? Bagaimana dengan penerimaan golongan pengundi muda yang bakal menjadi majoriti pada PRU-14 nanti sedangkan UMNO-BN pula dikuasai dan didominasi oleh golongan yang berasal dari zaman Mahathir sebagai Perdana Menteri yang melihat media boleh ditelunjuk-telunjukkan sahaja?

Persoalan besar yang membuatkan ahli-ahli UMNO sendiri menggeleng ialah, bagaimanakah riadah yang dijadikan aktiviti parti, mampu menarik golongan bukan UMNO-BN untuk menyokong UMNO-BN dan apakah pengisian kempen parti di dalam aktiviti riadah tersebut memandangkan kesemua aktiviti riadah yang diadakan, hanya memperlihatkan, para peserta datang ambil bahagian dan kemudian balik.

Mengapa pada ketika aktiviti riadah tersebut yang sepatutnya ditumpukan dan disasarkan kepada kelompok-kelompok yang tidak menyokong UMNO-BN, mereka didaftarkan mengundi dan kemudian, mereka sentiasa dihubungi dan diambil berat bagi tujuan pemujukan?

Atau sememangnya Selangor bagi UMNO-BN SUDAH TERLALU KRONIK?


Tuesday, 15 March 2016

Drama U-Turn Wan Azizah Rupa-Rupanya Membuatkan Ada Bekas Calon UMNO-BN Yang Anggap, Ia adalah Realistik Untuk UMNO-BN Rampas Selangor!


Tak kisahlah apa helah yang sedang dibuat oleh Wan Azizah, mahupun Lim Kit Siang apabila menyuarakan keinginan mereka untuk bekerjasama dengan UMNO dan Najib bagi 'menyelamatkan Malaysia', hakikatnya, UMNO tidak boleh sama sekali terpedaya.

Semenjak Deklarasi Kit Siang-Mahathir dilancarkan, kita sering menyaksikan drama-drama u-turn yang tidak munasabah selain drama-drama pengampuan dan pembodekan melampau dari kalangan UMNO sendiri.

Terlalu mustahil PKR dan DAP mampu dan mahu bekerjasama dengan UMNO-BN untuk 'menyelamatkan Malaysia' memandangkan selama ini pun, mereka hidup dan beroperasi atas falsafah fitnah dan putar belit berita, termasuklah memburuk-burukkan negara sendiri.

Namun, ada juga yang terpesona dengan tawaran lumayan yang dibuat oleh Wan Azizah dan Lim Kit Siang. Mereka berpendapat PKR dan DAP boleh dipergunakan dengan mudah atau ditipu bagi membolehkan UMNO-BN mengaut keuntungan besar.

Kesilapan besarlah kalau mereka cenderung berfikiran begitu.

Ada beberapa orang bekas calon UMNO-BN pada PRU lalu yang kalah di kerusi-kerusi yang sebelum itu adalah tradisinya disandang oleh UMNO di Selangor, berpendapat tiada salahnya kalau UMNO-BN menjalinkan hubungan bertahap rendah dengan DAP dan PKR. Selain boleh mengubah pemikiran ahli-ahli DAP dan PKR yang sentiasa berfikiran negatif tentang UMNO-BN, peluang untuk merampas semula kerusi-kerusi yang telah ditawan oleh PAS dan PKR semenjak dua PRU lalu, lebih terbuka luas kerana antara PAS-PKR-DAP sendiri bertelagah.

Kata mereka, cukup dengan melaga-lagakan dan mengapi-apikan mereka sahaja, terutama sekali di Selangor.

Amboi... mudahnya persepsi dan berteori!

Yang disibukkan adalah pertelagahan antara PKR-DAP-PAS di Selangor. Pertelagahan dalaman UMNO Selangor? MCA, GERAKAN, MIC Selangor yang terus ketiduran? Ahli-ahli UMNO yang semakin bosan dengan gelagat para pemimpin UMNO-BN tempatan? Jumlah pengundi dan penyokong UMNO yang tidak bertambah kerana daftar undi tidak dititik beratkan?

Semua itu tidak difikirkan sebagai faktor?

Dengan perancangan dan perbuatan yang tidak menampakkan sebarang keuntungan, bahkan belum menampakkan sinar untuk UMNO-BN di Selangor, seharusnya usaha-usaha yang lebih keras dilakukan, berbanding berangan-angan merealisasikan angan-angan yang tidak berkesudahan.

Ada banyak isu di Selangor tetapi nampaknya UMNO-BN terus kelam-kabut dengan masalah dalaman sendiri... macam tu ka nak menang?

Jangan haraplah!!!

Monday, 14 March 2016

Musim Semua Pakat Tunjuk Sokongan Kepada PM dan Parti Tapi Kawasan Sendiri Kalah Semua Kerusi



Ketua-Ketua Bahagian bersolidariti menyokong Perdana Menteri sepenuh hati dan 'berada di belakang' Perdana Menteri, sedia mempertahankannya sehingga titisan darah terakhir... RETORIK!

Sepanjang serangan ke atas Perdana Menteri, kelibat Ketua-Ketua Bahagian hampir tidak kelihatan langsung. Kalau ada pun, hanyalah mereka yang berjawatan dalam Kabinet dan seorang dua Ketua Bahagian yang memang terkenal dengan suara lantang mereka seperti Ketua Bahagian Tanjung Malim.

Ketua-Ketua Bahagian yang lain, hampir tidak wujud walaupun mendakwa mereka buat kerja Bahagian masing-masing memberikan penjelasan kepada rakyat akan isu-isu semasa.

Hakikatnya, apa yang mereka dakwa sebagai perlaksanaan kerja mereka telah dibuat, ia tidak memberikan sebarang kesan positif apabila pembunuhan karektor Perdana Menteri dan pemburukan ke atas kepimpinan negara berlanjutan secara lebih teruk.

Penulis tertarik dengan saranan yang dibuat oleh UMNO Bahagian Ampang dan Pandan yang menyarankan agar beberapa orang pemimpin UMNO dipecat dan ditendang keluar dari parti kerana telah menderhaka dan mengambil sikap kepimpinan mahupun tidak lagi menunjukkan taat setia kepada Presiden.


Tidak ada salahnya cadangan tersebut, tetapi melihat kepada sejarah dan pencapaian UMNO Bahagian Ampang serta Pandan, bahkan Selangor secara keseluruhannya, sebenarnya eloklah mereka lebih menumpukan perhatian untuk memenangi semula kerusi-kerusi DUN dan Parlimen. Kalau tidak semua, sekurang-kurangnya ada satu. Bukannya 3-0 seperti sekarang.

Pertelagahan dalaman seperti di dalam UMNO Ampang dan UMNO Pandan sendiri pun, masih tidak dapat diselesaikan sehingga ke hari ini. Yang buat kacau, yang masih gilakan jawatan tetapi masih gagal melaksanakan tugas memantapkan parti di Bahagian mereka, masih lagi berterusan menjadi musuh dalam selimut dan gunting dalam lipatan.

Setakat untuk menunjukkan sokongan tetapi di Bahagian sendiri bermasalah dan TIADA HARAPAN UNTUK MENANG, lebih baik tutup mulut dan tumpukan pada kerja. Kerja-kerja pembodekan dan pengampuan yang menjijikkan, meloyakan, bahkan menjengkelkan, lebih baiklah dihentikan kerana ia tidak akan membawa lebih banyak sokongan, bahkan akan membawa lebih banyak muntah dan rasa loya yang amat keterlaluan kepada kepimpinan tempatan.